SMK Desa Perdana © All rights reserved Privacy Policy | Terms of Use

Halaman Utama.Pentadbiran.Hal Ehwal Murid.Kokurikulum.Akademik.
Dari Meja Pengetua

Bismillahirrahmanirrahim.

 

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera Bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, kita dapat meneruskan khidmat bakti di sekolah tercinta ini.  Saya mengucapkan Selamat Maju jaya kepada semua warga sekolah dan terutama para pelajar SMK Desa Perdana. Kepada warga pendidik khususnya, kegemilangan dan kejayaan terus menerangi kehidupan kita semua yang mempunyai amanah besar untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti di sekolah kita. Marilah kita memperbaharui tekad dan menyuntik semangat baru dalam melonjakkan kecemerlangan SMK Desa Perdana pada tahun 2018 dan tahun – tahun yang mendatang.

 

Sesungguhnya, sekolah adalah nadi utama dalam usaha membangunkan modal insan yang memacu kemajuan negara pada masa hadapan.  Matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju amat bergantung kepada keupayaan warga sekolah terutamanya para pendidik yan berpengetahuan kelas pertama , berketrampilan  dan berdaya saing yang sihat bagi melakar pembangunan modal insan dalam kalangan pelajar SMK Desa Perdana berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020. Para pendidik harus mempunyai hala tuju yang jelas dan mengutamakan aktiviti peningkatan profesionalisme agar mampu memberi impak yang tinggi terhadap kecemerlangan anak didik yang dikasihi dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.

 

Dalam menghadapi persaingan pada peringkat global kejayaan sesebuah sekolah amat bergantung pada pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh warga sekolah. Oleh itu, setiap warga pendidik perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta melipatgandakan usaha bagi melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif untuk mengisi keperluan masa kini dan masa hadapan.  Usaha murni yang berterusan oleh warga pendidik dalam melahirkan modal insan yang dihasratkan akan berupaya meningkatkan daya saing negara, melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sekaligus menjadikan negara sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

 

Pengajaran yang berkesan melibatkan proses memindahkan ilmu oleh guru di samping memperkembang potensi pelajar.  Bagi pelajar, pembelajaran merupakan suatu proses mengumpul maklumat dan pengalaman secara berterusan.  Dalam hal ini pengintegrasian ICT dalam P&P memberi kesan berganda kepada pelajar-pelajar bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.  E-mail, e-pembelajaran, sidang video dan pelbagai inovasi teknologi membolehkan pelajar mendapat maklumat dalam masa yang singkat. Dalam era globalisasi, warga sekolah perlu melengkapkan diri dengan maklumat terkini supaya dapat  bertindak balas terhadap pembangunan teknologi baru.

 

Akhir kata,  setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih PIBG dan warga sekolah serta individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan  sumbangan  kepada pihak sekolah. Segala usaha murni ini perlu  diteruskan lagi agar mencapai kejayaan yang lebih cemerlang seterusnya dapat menyumbang bakti pula kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Penghargaan ini juga diberikan kepada barisan Pentadbiran sekolah  yang berjaya menghasilkan buku takwim ini sebagai rujukan seluruh warga sekolah.  Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat hendaklah dijadikan amalan dalam merealisasikan budaya kerja cemerlang. Semoga segala  tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dirahmati Allah.

 

 

“TUGAS ITU AMANAH, KERJA ITU IBADAH”

 

 

Sekian, terima kasih.

 

Pn Siti Nora Bt Ali

 

Pengetua

SMK Desa Perdana

Kuala Lumpur